h-pengenalan-dikn

Perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri kreatif adalah salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara-negara maju. Contohnya, industri ini telah menyumbang sebanyak USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat. Dalam perspektif ekonomi dan sosiobudaya Malaysia, industri kreatif telah memberi sumbangan sebanyak RM9.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2008 dan berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya bangsa. Justeru, amat penting industri ini dibangunkan secara bersepadu dan terancang melalui satu dasar dan hala tuju yang komprehensif.

Menyedari hakikat kepentingan industri ini, Kementerian telah mengadakan Persidangan Industri Kreatif pada 17 Mac 2009. Antara perkara yang menyentuh industri ini adalah ketiadaan penyelarasan dan dasar yang jelas tentang pembangunan industri kreatif di negara ini. Oleh yang demikian, satu dasar industri kreatif perlu diwujudkan bagi menjelaskan hala tuju dan pembangunan industri kreatif negara.

Bagi tujuan ini, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) digubal sebagai dasar induk untuk menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif. Dasar ini akan menjurus dan memacu segala kegiatan kreatif secara lebih produktif dan ekonomik melalui sinergi sektor awam dan swasta.

Pembentangan Bajet 2010

pm-najib-2010Komitmen daripada kepimpinan tertinggi negara ini terkandung dalam pembentangan Bajet 2010 oleh YAB Perdana Menteri:

“Dalam memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreativiti dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsangkan. Lantaran itu, industri kreatif wajar dimajukan lagi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Industri ini meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan. Bagi menyelaras perkembangan pelbagai segmen dalam industri ini, Kerajaan akan:

1

Menggubal Dasar Industri Kreatif yang komprehensif sebagai asas pembangunan industri kreatif negara;

 

2

Menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah 200 juta ringgit bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Yang mustahaknya, urusan mendapatkan pinjaman ini akan dipermudahkan supaya boleh dimanfaatkan oleh industri; dan

 

3

Kepada para penggiat seni, mereka tidak sekali-kali diabaikan. Kerajaan akan menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian. Dengan ini, sejumlah 3 juta ringgit akan diperuntukkan sebagai geran pelancaran.”

DIKN berupaya membuka lebih banyak peluang kepada pelbagai kumpulan karyawan sedia ada, generasi akan datang dan industri-industri sampingan untuk mencetus lebih banyak idea, kreativiti dan inovasi yang boleh dikomersilkan. Ini selaras dengan semangat dan cita-cita Gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ke arah pencapaian Wawasan 2020.

Beberapa mesyuarat disusuli dengan siri bengkel telah diadakan bagi membincang pembentukan dasar ini. Beberapa dokumen telah dijadikan sumber rujukan bagi membentuk dasar ini, antaranya adalah:

(i) Dasar Perfileman Negara;

(ii) Dasar dan Strategi Pembangunan Industri Muzik Negara;

(iii) Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan 2006- 2010;

(iv) Draf Dasar Strategi dan Program Pembangunan Kandungan Negara;

(v) Draf Dasar dan Strategi Pembangunan Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Warisan); dan

(vi) Memorandum Daripada Persatuan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) mengenai Pembangunan Industri Perfileman dan Kandungan Negara.